Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Datuk Seri Awang Adek Hussin berkata, program itu yang mengembeling kerjasama dan kolaborasi antara institusi pasaran modal dan universiti, akan membantu menghasilkan graduan yang lebih bersedia untuk diterap dalam pasaran modal.
Katanya, ini akan mengurangkan defisit tenaga mahir di pasaran modal, pada masa sama meningkatkan kebolehpasaran graduan.
“Ada ramai graduan yang ingin mendapatkan pekerjaan, pada masa sama pula terdapat kekurangan tenaga mahir yang getir dalam pasaran. Seolah-olah ada ketidakpadanan penawaran dan permintaan.
“Sehubungan itu, diharapkan Program CMGP juga boleh dijadikan sebagai pengantara atau matchmaker antara graduan dan pasaran modal;katanya.
Awang Adek berkata,sebagai bekas pensyarah universiti dalam bidang ekonomi dan kini memegang jawatan pengerusi Universiti Sains Malaysia (USM), beliau cukup maklum bahawa pengetahuan mengenai pasaran modal adalah begitu terhad dalam kalangan pelajar dan pensyarah.
Oleh itu, katanya, bagi mewujudkan minat dan kesedaran mengenai pasaran modal dalam kalangan mahasiswa universiti, pihak SC berpendapat perlu diwujudkan satu program yang tersusun, terancang dan konsisten untuk tempoh beberapa tahun bagi membolehkan graduan mendapat pekerjaan dalam pasaran modal.