Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, InvestED dijangka dapat mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.
Beliau berkata, inisiatif terbaharu itu juga adalah kerjasama pertama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Bursa Malaysia serta peserta industri pasaran modal terkemuka.
Program itu katanya dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.
“Program ini tentunya dapat membuka lebih baik peluang pekerjaan kepada graduan.
“9,000 mahasiswa akan meraih manfaat pendedahan kepada peluang pekerjaan dalam industri pasaran modal dengan 600 orang akan terjamin mendapat pekerjaan dalam masa tiga tahun,” katanya ketika melancarkan InvestED di sini hari ini.
Anwar berkata, kerajaan yakin jumlah pemanfaat itu boleh dipertingkatkan lagi melalui penyertaan lebih banyak pemain industri yang berkerjasama dengan universiti.
Beliau berkata, pada masa yang sama, kerajaan berharap program seumpama ini turut membantu pelajar-pelajar daripada keluarga susah supaya mereka tidak tertinggal meraih manfaat peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Ini cukup penting dan selaras dengan hasrat Malaysia MADANI,” katanya.